Ahad, November 01, 2015

Sinopsis Bab 31 - Bab 36: Jendela Menghadap Jalan

Bab 31
Danel juga berbangga kerana Geetha sanggup membantu dalam menyelesaikan masalah pembinaan masjid dan surau kampungnya. Mereka juga berbincang tentang bioteknologi berkaitan dengan madu lebah, kambing dan pokok vanila yang mampu memberi pulangan yang cukup lumayan. Kak Mimah telah menghubungi datuk. Selain membincangkan rawatan mereka juga menyentuh isu keganasan rumah tangga Che Jah. Lili tercengang dengan  keputusan datuk untuk mengambil tindakan terhadap suami Che Jah dan mengheretnya ke penjara. Mereka berbincang tentang cara untuk menangkap suami Che Jah dan menghukumnya mengikut lunas undang-undang.

Bab 32
Berita kubah dilarikan orang menjadi isu hangat ketika ini. Beberapa orang wanita mengesyaki angkara ini sudah pasti dilakukan oleh anak-anak Che Jah yang telah terkenal dengan kejahatan lampaunya. Lili menenangkan keadaan dan meminta agar mereka tidak membuat tuduhan melulu yang tiada kepastiannya. Datuk mengheret Rafiq dan Haziq ke halaman rumah, penduduk akan membelasah mereka dua beradik. Datuk meminta semua penduduk kampung berkumpul. Mereka lihat Rafiq dan Haziq dalam keadaan lesu dan badannya lebam-lebam akibat dibelasah. Datuk mencarikan herba untuk memulihkan mereka tetapi badan mereka langsung tidak bermaya. Badan Haziq lebam, manakala hidung Rafiq berdarah dan rebah di lantai rumah. Geetha memberitahu Danel, biarlah datuk yang menyelesaikan masalah masjid dan surau. Dia hanya ingin membantu menyelesaikan masalah keluarga Che Jah.

Bab 33
Kak Mimah dan rakannya Nadia muncul ketika datuk ingin mengadakan pertemuan di balai raya. Che Jah juga hadir sama tanpa dicari. Dia membuat pengakuan untuk dipanjangkan kepada pihak berkuasa. Suaminyalah yang telah melarikan kubah surau kampung, bukannya Rafiq dan Haziq. Che Jah berharap biarlah pihak berkuasa mengambil tindakan yang wajar supaya suaminya dihantar ke pusat pemulihan akidah. Menurut Kak Mimah, jika Che Jah membuat laporan polis, tindakan mahkamah boleh diambil, dan kes ini akan diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan mendapat bantuan daripada Jabatan Perlindungan Wanita dan Masyarakat bagi membiayai kos rawatan pemulihan akidah suaminya. Suami Che Jah berjaya ditangkap oleh penduduk kampung di belakang pondok dusun. Haziq diberi herba sebagai penawar, manakala Rafiq dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Bab 34
Sugi tidak mengaku terlibat dengan kemasukan dua orang wakil pemaju perumahan yang datang memujuk penduduk kampung agar menjualkan tanah mereka.Datuk pula dituduh cuba melindungi Che Jah yang terlibat melindunginya anak-anaknya daripada kes culik cucunya, Lili. Berpuluh-puluh pemuda kampung menunjuk perasaan di halaman rumah dengan menuduh datuk terlibat dengan pemaju perumahan. Datuk tidak ambil kisah kerana itu bukan urusannya. Sugi pula menjelaskan bahawa dia bukan bertujuan untuk membangunkan kampung dengan projek rumah kos rendah, tetapi ingin memajukan tanah-tanah penduduk kampung dengan projek agropolitan, penanaman Jatropha Cuncas dan selama ini semuanya tersalah anggap. Haziq semakin pulih daripada keletihan manakala Rafiq disahkan mengambil terlalu banyak dadah jenis syabu sehingga sistem tubuh badannya banyak yang rosak. Kak Mimah berjanji akan membantunya sehingga pulih.

Bab 35
Lili berasa puas hati apabila pendapatnya didengar oleh orang dewasa. Mereka akan membina masjid seperti yang disarankan. Datuk meminta Danel pulang setelah membantu datuk dan menghilangkan kerisauan ayahnya setelah sehari suntuk tidak pulang ke rumah. Haziq yang semakin sembuh juga meminta izin untuk pulang bagi melihat ibunya di rumah. Keesokan harinya, Geetha dan Danel mengajak Lili melihat matahari terbit.

Bab 36
Matahari terbit dapat disaksikan oleh Lili dan Geetha seawal pagi. Ibu tiba ke kampung dan akan membawa Lili ke Kuala Lumpur dan sempat untuk menghadiri majlis perpisahan pengetuanya. Datuknya, Haji Abdul Rahman menceritakan maksud yang tersembunyi tentang jendela menghadap jalan yang terlalu banyak kisah  silam iaitu dari zaman penjajahan hinggalah  zaman komunis. Neneknya iaitu Hajah Aisyah Tan Abdullah pula menceritakan kisah zaman silamnya yang berasal dari Tanah Besar China sehinggalah pertemuannya dengan datuk di Tanah Melayu.  Lili kerap berjumpa dengan Geetha di Kuala Lumpur dan meneruskan pelajarannya. Haziq dan Rafiq pula akan menduduki PMR pada tahun hadapan dan hidupnya telah banyak berubah. Danel berharap Lili akan kembali semula ke Kampung Sentosa dan berharap Lili telah mengetahui kisah tentang jendela menghadap jalan, manakala Danel pula banyak menulis artikel tentang pisang.




Tiada ulasan: