Ahad, Februari 21, 2016

Novel Songket Berbenang Emas

Sinopsis Umum 

Novel ini mengisahkan kehidupan Dahlia,seorang murid yang cerdik dan disenangi oleh teman-temannya. Namun, Dahlia menghadapi masalah keluarga sehingga mengganggu tumpuannya terhadap peperiksaan STPM yang bakal didudukinya. Sebagai anak sulung,Dahlia terpaksa memberikan perhatian kepada adik-adiknya setelah pelbagai masalah melanda keluarganya. Ibunya, Saleha dirawat di Hospital Permai kerana mengalami masalah tekanan mental. Ayahnya dipatuk ular sehingga dimasukkan ke wad selama beberapa hari. Adik lelakinya pula terpengaruh dengan kawan-kawan sehingga tidak berminat untuk belajar.Situasi ini telah menyebabkan Dahlia terpaksa keluar dari asrama untuk menjaga adik-adiknya.Tekanan hidup Dahlia semakin bertambah apabila hubungannya dengan Azhari dipandang serong oleh jirannya.Tindakan berani Dahlia terjun ke sungai untuk menyelamatkan Said tidak dihargai, malah dicemuh pula kerana gagal menyelamatkannya.Walau bagaimanapun, Dahlia tetap tabah menghadapi dugaan. Hadiah atas kesabarannya menghadapi pelbagai dugaan hidup ialah kejayaan Dahlia yang dapat melanjutkan pelajaran ke Jepun dan pertunangannya dengan Azhari. 

Sinopsis Bab demi Bab 

Bab 1: Kalaulah Engkau Mengerti 
Setelah penat berlatih bola jaring untuk bertanding dengan pelajar tingkatan enam rendah, Dahlia berbual-bual dengan Siti Wangi, rakan karibnya mengenai kertas kerja yang disuruh oleh Cikgu Hisyam. Dia memberitahu Siti Wangi, isi telah dicari tetapi fakta-fakta masih tidak lengkap. 
Kemudian,Kavita datang menemui Dahlia dengan membawa pesanan seorang lelaki mahu bertemunya di kantin.Dahlia pergi bertemu dengan lelaki itu yang bernama Azhari. Lelaki itu memberitahu Dahlia ,dia telah habis belajar dan akan mendapat segulung ijazah pada bulan Ogos nanti. Azhari juga memaklumkan  keluarganya akan datang ke rumah Dahlia untuk tujuan merisik.Dahlia meminta Azhari mengerti bahawa dia masih belajar dan ingin membantu keluarganya kerana dia merupakan anak sulung. 

Bab 2: Detik-detik Hati Tersentuh 
Pada petang itu, Azhari menghantar Dahlia pulang ke kampungnya tetapi sehingga ke jambatan sahaja.Jirannya yang bernama Aton telah menegurnya semasa dia turun dari kereta Azhari. Aton juga menyindir Dahlia yang selalu balik dengan mengatakan bahawa dia tidak suka tinggal di asrama. Dahlia membalas sindiran Aton dengan mengatakan bahawa orang tuanya masih ada. Dahlia tidak suka akan Aton kerana Aton mengatakan emaknya “tak betul”. 
Sewaktu sampai di rumahnya,Dahlia terdengar adiknya, Anggerik menangis kelaparan. Melati memberitahu emak mereka telah keluar rumah dan belum pulang lagi. Dahlia terus mendapatkan Anggerik dan memarahi Melati kerana membuat susu yang terlalu cair. Sebenarnya, susu telah habis.. Dahlia telah menyiapkan makan malam manakala Melati disuruh pergi ke kedai Tauke Lim untuk membeli susu dan gula pasir sekilo secara hutang.   
Selepas itu, Dahlia pergi mencari emaknya di kebun getah. Dahlia terdengar emaknya bercakap sendirian dan tidak mempedulikan panggilannya. Hati Dahlia benar-benar tersentuh apabila melihat ibunya sebegitu. Emaknya juga tidak mengenalinya menyebabkan Dahlia menangis.Tiba-tiba, abahnya Embong muncul dan bertanyakan sebab Dahlia di situ kerana sudah masuk waktu Maghrib. Dahlia menuding ke arah emaknya. Embong cuba memujuk Saleha balik ke rumah tetapi Saleha mengatakan rumahnya di tengah kebun getah itu dan dia tidak mahu diganggu. Dahlia mencadangkan abahnya supaya mendapatkan bantuan orang kampung sebelum emaknya pergi lebih jauh ke dalam kebun. 

Bab 3: Jangan Tinggalkan Kami 
Selepas solat Isyak, Dahlia asyik befikir tentang penyakit emaknya itu. Dia tertanya-tanya sama ada emaknya terkena buatan orang. Akan tetapi, Dahlia tidak tahu orang yang berhasad dengki dengan keluarganya. Akhirnya, Dahlia pasrah dan mengakui bahawa semua yang berlaku itu adalah ketentuan Allah. Dahlia berdoa agar Allah menguatkan imannya, memberi ketabahan dan kekuatan untuk melalui hari-hari yang mendatang. Dia juga berdoa agar emaknya pulih seperti sediakala. Setelah habis berdoa, Dahlia terdengar suara Nek Kiah, ibu kepada emaknya.  
Nek Kiah memarahi Embong kerana mengikat Saleha. Abah Dahlia memberitahu, beliau terpaksa berbuat sedemikian kerana takut Saleha lari. Nek Kiah memang tidak suka akan keluarga Dahlia kerana mereka hidup dalam kemiskinan. Nek Kiah membandingkan keluarga Dahlia dengan anak-anaknya yang lain yang semuanya hidup senang-lenang. Haji Sulaiman selaku Ketua Kampung Parit Haji Rais datang membawa orang dari Hospital Batu Pahat. Tujuan kedatangan mereka adalah untuk membawa Saleha mendapatkan rawatan. Walaupun anak-anak dan Nek Kiah melarang Saleha untuk dibawa ke hospital namun Embong serba salah menghadapi situasi itu.

Bab 4: Dibuai Kenangan Indah 
Dahlia menyelesaikan kerja rumah, kerja sekolah dan membantu Melati menyiapkan latihan Matematik. Dahlia merebahkan dirinya di sebelah Anggerik. Dahlia mengimbas kembali pantun yang diungkapkan oleh Azhari sewaktu menghantarnya pulang pada hari Khamis yang lalu. Dahlia tidak sanggup untuk melukakan hati sesiapa. Dia meminta agar Azhari mengerti keadaan keluarganya yang belum sempurna. Dahlia juga meminta izin Azhari untuk membaiki diri sendiri dan keluarganya. 
Pada petang Khamis itu, dia dihantar oleh Azhari pulang ke kampung tetapi Dahlia meminta Azhari memberhentikannya jauh dari rumahnya untuk mengelakkan salah faham orang kampung. Pada keesokan paginya,Dahlia dikejutkan oleh abahnya yang menyuruhnya pergi ke sekolah. Embong memberitahu Dahlia bahawa beliau akan menguruskan hal berkaitan adik-adik Dahlia walaupun sebenarnya beliau sendiri tidak tahu akan cara untuk menyelesaikan masalah tersebut kerana beliau terpaksa bekerja mencari nafkah keluarga. Perkara inilah yang menjadi punca beliau tidak mahu menghantar isterinya ke hospital. Embong pasrah memikirkan masalah tersebut, beliau menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan.  

Embong mengimbas kembali perbualannya dengan Saleha mengenai ibu mentuanya, Nek Kiah yang tidak suka akan keluarga mereka. Nek Kiah tidak suka keluarga mereka disebabkan mereka hidup miskin tidak seperti anak-anaknya yang lain. Anak-anak Saleha dan Embong tidak diumpamakan sebagai cucu oleh Nek Kiah. Embong juga  teringat semula peristiwa isterinya pernah memberitahu bahawa sejak kebelakangan ini beliau terasa ada bayang-bayang mengejarnya. Telinganya juga sering terdengar suara yang pelik-pelik. Badannya juga terasa lemah.  
Embong dikejutkan oleh suara Dahlia yang disangkakan isterinya. Embong memberitahu Dahlia doktor memaklumkan emaknya hanya rungsing, Embong tidak menceritakan perkara sebenar yang berlaku kepada Saleha di bilik kurungan di hospital itu kerana bimbang Dahlia tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajarannya. Embong juga memberitahu bahawa beliau akan memetik buah kelapa sawit Haji Sulaiman pada keesokannya. Mereka dikejutkan oleh Abu Bakar, adik Dahlia yang sudah tiga hari tidak balik ke rumah dan rela menjadi gelandangan setelah mendapat gred  tiga dalam SPM. 

Bab 5: Kata Setajam Pedang 
Dahlia menaiki bas JMBC berjalur merah untuk ke sekolah. Dia yang sepatutnya pulang pada hari Sabtu ke asrama tidak berbuat demikian kerana adiknya, Anggerik asyik menangis. Dahlia tidak rela dituduh mementingkan diri sendiri oleh sebab itu dia pergi ke sekolah pada hari Ahad itu dari rumahnya. Dahlia sampai lewat ke Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggong Ibrahim iaitu lima minit pukul lapan pagi. Pintu pagar telah berkunci. Dahlia ternampak Cikgu Salwani, warden asramanya sedang menuju ke bilik guru. Dahlia ditanya oleh Cikgu Salwani punca kelewatannya dan meminta Dahlia berjumpa dengannya pada petang itu.  
Dahlia tidak dapat menumpukan perhatiannya di dalam kelas. Dia asyik teringat emak, Anggerik dan abahnya. Siti Wangi mengingatkan Dahlia, mereka ada janji temu pada pukul 2:00 petang untuk membincangkan kertas kerja yang akan dibentangkan pada hari Khamis. Dahlia memberitahu dia tidak bersedia dan pada petang itu dia hendak melawat emaknya di hospital. Pada petang itu, Dahlia tidak bertemu dengan Cikgu Salwani kerana dia risau akan ditanya macam-macam. Dahlia telah keluar dari asrama tanpa kebenaran wardennya dan terus pergi ke hospital untuk berjumpa emaknya. Dahlia terserempak dengan Haji Sulaiman ketika di hospital. Haji Sulaiman memaklumkan emaknya telah dibawa ke Hospital Permai, Johor Bahru.

Bab 6: Ditelan Arus Deras 
Dahlia telah dihantar oleh Haji Sulaiman ke rumahnya. Haji Sulaiman telah memberitahu abahnya tentang Saleha yang telah dihantar ke Hospital Permai. Abah seolah-olah menyalahkan nasibnya yang sebegitu. Pada petang itu Nek Kiah telah datang ke rumahnya bertanyakan emaknya yang dikatakan telah dihantar ke rumah orang gila. Dahlia amat terpukul dengan perkataan “ orang gila” yang dilafazkan oleh Nek Kiah, nenek yang melahirkan emaknya. Nek Kiah memberitahu beliau geram apabila semua orang bercakap mengenai emak Dahlia di balai raya. Beliau memberitahu punca emak Dahlia gila kerana rumah itu dilanggar hantu dan penuh syaitan dan selepas ini mungkin ahli keluarga yang lain pula akan terkena. Nek Kiah telah mengeluarkan kapur dan menggores pintu rumah dan pintu tengah dengan tanda campur supaya hantu tidak masuk ke rumah. Dahlia mengucap dua kalimah syahadah beberapa kali kerana tidak percaya dengan tindakan neneknya itu. Segala yang berlaku adalah ketentuan Tuhan.  
Tiba-tiba Dahlia dikejutkan dengan jeritan di tebing sungai yang mengatakan Said telah hilang dibawa arus sungai. Dahlia terus terjun ke dalam sungai untuk mencari Said. Akhirnya, Dahlia telah menemui Said setelah dibantu oleh seorang pemuda yang bukan daripada penduduk kampung itu. Malangnya, denyutan jantung Said sudah terhenti. Nek Kiah telah menyuruh pemuda itu membawa Said keliling rumah tujuh kali kerana dikatakan nyawanya boleh kembali tetapi malangnya Said telah tiada. 

Bab 7: Berbudi Berbalas Nista 
Dahlia menangis setelah pulang daripada menziarahi mayat Said. Embong kehairanan kerana selama ini Dahlia telah dididik berjiwa kuat dan mampu menghadapi setiap dugaan. Selepas itu, Embong ke rumah Aton untuk menziarahi mayat Said. Said merupakan anak tunggal Aton. Aton mencari Embong dan memarahinya dengan mengatakan anaknya, Dahlialah yang menyebabkan Said mati dan Embonglah yang mahu Said mati. Embong terdiam mendengar kata-kata Aton. Embong turun ke bawah dan masuk ke dalam kelompok orang ramai di halaman di bawah pokok-pokok getah. Embong membiarkan Aton berkata-kata tentang dirinya dan Dahlia, beliau yakin kebenaran akan terbukti kelak. Embong terdengar suara-suara yang mempersoalkan kematian Said dan percakapan mereka yang semakin menyakitkan hatinya. Namun, Embong tetap bersabar dan beliau tidak mahu mencari musuh.   
Dalam perjalanan pulang ke rumahnya, Embong bertemu dengan Tauke Lim. Tauke Lim memuji keberanian Dahlia yang cuba menyelamatkan Said. Embong sudah tahu punca Dahlia menangis setelah pulang dari rumah Aton. Memandangkan masa baru pukul 10.25 pagi , Embong pergi  memotong buah kelapa sawit di Parit Haji Kadir. Embong mengimbas kembali peristiwa pada petang semalam ketika Dahlia sedang memasak di dapur dalam keadaan yang lemah selepas menyelamatkan Said. Tersentuh hati Embong kerana sepatutnya masa remaja Dahlia dihabiskan dengan buku-buku pelajaran dan bukan kerja-kerja dapur. Embong bertekad untuk bekerja kuat demi masa depan anak-anaknya. Setelah tiba di kebun kelapa sawit itu, Embong terbau sesuatu. Beliau ternampak ular sawa sebesar paha melingkari pokok kelapa sawit. Sewaktu Embong pergi mencari buluh, ular sawa itu telah hilang. Tanpa diduga, ular itu menjatuhkan tubuh ke arah Embong hingga menyebabkan Embong panik. 

Bab 8: Bayang-bayang Kecelakaan 
Dahlia bermimpi  buruk tentang ular sawa itu yang cuba membelitnya. Dahlia tersedar apabila terdengar tangisan Anggerik. Anggerik demam panas. Dahlia bercadang untuk membawa Anggerik ke klinik pada petang itu. Dahlia ternampak dua orang lelaki bersongkok ke rumah Aton. Dia teringat semula kata-kata orang yang menuduhnya lambat menyelamatkan Said.  
Dahlia melakukan kerja-kerja di dapur sambil mendukung adiknya. Melati meluahkan kata-kata untuk berhenti sekolah dan mahu Dahlia yang meneruskan persekolahannya. Melati bertindak sedemikian kerana malu apabila ada orang yang mengatakan emak mereka gila. Dahlia menasihati Melati supaya tidak mendengar kata-kata orang kerana orang itu tidak akan menyenangkan kehidupan mereka.   
Embong pulang membawa ular sawa di atas pungkis. Dahlia ketakutan. Embong kehairanan apabila melihat Dahlia menggeletar ketakutan dan menyuruhnya membuang ular itu. Embong membawa ular itu pulang sebagai bukti beliau telah berjuang dengan maut untuk menyelamatkan dirinya. Embong cuba mendapatkan Dahlia untuk mengetahui punca dia ketakutan. Dahlia memberitahu akan mimpinya itu. Embong keluar dari rumah dan pergi  memerhatikan aliran sungai yang deras berhampiran rumahnya itu, dia memikirkan kesanggupan Dahlia berjuang menyelamatkan nyawa orang lain sehingga sanggup mengetepikan nyawa sendiri. Tiba-tiba, Embong dikejutkan dengan kehadiran seorang pemuda Melayu bersama-sama gadis India yang merupakan kawan Dahlia. 

Bab 9: Apabila Tamak Menguasai Jiwa 
Najib telah datang bersama dengan Kavita untuk berjumpa dengan Dahlia. Najib melihat kedaifan hidup keluarga Dahlia. Kini barulah dia memahami punca Dahlia menolak hasratnya untuk datang pada Hari Raya Aidilfitri. Najib mempelawa Dahlia untuk membawa adiknya ke klinik.  
Pada ketika itu, bapa saudara Dahlia, Pak Cik Seman pergi ke rumah Nek Kiah. Seman memberitahu Nek Kiah dia malu apabila orang bercakap tentang adiknya Saleha yang telah dibawa ke hospital di Johor Bahru. Seman menuduh Embong mempelajari ilmu sehingga Leha sanggup berkahwin dengannya yang tidak diketahui asal-usulnya. Seman mencadangkan agar tanah yang diduduki oleh keluarga Dahlia dijual. Seman berjanji dengan emaknya untuk mencari pembeli. Nek Kiah bersetuju dengan cadangan Seman apabila mendengar nilai tanah itu yang dapat dijual dengan harga RM15,000 . 

Bab 10: Selamat Tinggal,Asrama Puteri ! 
Cikgu Salwani memarahi Dahlia yang telah mengambil keputusan untuk keluar dari asrama. Beliau memaksa Dahlia untuk memberitahu puncanya tetapi Dahlia hanya memberitahu bahawa dia ada masalah keluarga. Dahlia tidak mahu menceritakan perkara sebenar. Cikgu Salwani meminta Dahlia agar jangan keluar dari asrama kerana STPM tinggal hanya empat bulan sahaja. Dahlia menenangkan dirinya di perpustakaan.  
Tiba-tiba dia disergah oleh Kavita yang memberitahu bahawa Cikgu Hisyam, guru kelasnya ingin berjumpa dengan Dahlia di Bilik Kerjaya. Cikgu Hisyam telah mengetahui masalah Dahlia daripada Kavita yang pernah berkunjung ke rumah Dahlia. Cikgu Hisyam mengatakan bahawa Dahlia berpotensi untuk lulus dengan cemerlang dalam STPM. 

Bab 11: Pedihnya Melayan Kerenah Anak 
Embong marah akan Abu Bakar, anak lelaki tunggal yang tidak boleh diharap dan suka berseronok sahaja. Abu Bakar kerap tidak pulang ke rumah. Kemarahan Embong semakin membara apabila Bakar tidak mempedulikan kata-katanya dan terus menunggang motosikal. Embong teringat kembali ular sawa yang telah diberikan kepada Tauke Lim. Tiba-tiba Embong berasa kesal dan takut. Lamunan Embong terhenti apabila Mawar, anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah Sains Johor di Kluang, pulang bercuti. Mawar memberitahu bahawa dia balik kerana rindu akan emaknya. Mawar bertanya tentang emaknya tetapi Embong mengatakan nanti Mawar akan tahu sendiri. Pada hari itu, Dahlia pergi menziarahi emaknya di Hospital Permai. Embong tidak pergi kerana masalah kewangan. Beliau tidak sanggup  lagi untuk meminjam daripada Haji Sulaiman dan Tauke Lim lagi walaupun mereka berdua sangat baik dan suka membantunya. 

Bab 12: Air Mata Menitis di Hospital Permai  
Dahlia menaiki teksi ke Hospital Permai. Dahlia tiba di situ pada pukul 3:15 petang. Dia membayangkan kedatangannya disambut oleh emaknya dengan baik.  Lamunan Dahlia dikejutkan oleh seorang wanita berusia 30-an yang bertanya tentang tujuan kedatangannya. Wanita itu mencadangkan agar Dahlia berjumpa dengan doktor yang merawat emaknya. Doktor Ridhuan memberitahu Dahlia penyakit ibunya sudah sampai ke tahap berbahaya dan ingin mengetahui hal-hal yang  menyebabkan emaknya menjadi sebegitu. Beliau juga menjelaskan kemungkinan penyakit emak Dahlia berpunca daripada tekanan.  
Doktor Ridhuan memanggil Azhari untuk membawa Dahlia  melawat emaknya di bilik 16. Dahlia terkejut kerana Azhari bekerja di situ. Azhari memberitahu  bahawa dia bekerja sementara di situ baru dua minggu. Azhari ingin mengetahui punca Dahlia berada di situ. Dahlia dan Azhari pergi melawat emaknya, tetapi Saleha tidak mengenali anaknya itu dan dikatakan Dahlia sebagai pengutip hutang. Keadaan tersebut sangat menyedihkan Dahlia. Emaknya juga menyuruh Dahlia pergi dari situ. 

Bab 13: Pahitnya Menelan Kenyataan 
Embong terkejut apabila melihat Dahlia pulang dengan kereta yang dipandu oleh seorang lelaki. Embong berprasangka yang bukan-bukan terhadap Dahlia. Pada malam itu, Dahlia memberitahu keluarganya supaya tidak risau akan keadaan Saleha yang sedang dirawat. Apabila Dahlia melihat abahnya keseorangan di pintu barulah Dahlia menceritakan perkara sebenar. Dahlia tidak mahu adik-adiknya risau akan keadaan emak mereka. Tambahan pula, Mawar akan menghadapi peperiksaan SRP tidak lama lagi. Dahlia juga memberitahu abahnya bahawa dia telah keluar dari asrama. Tiba-tiba, Embong terdengar sesuatu di kandang kambingnya. Embong terkejut apabila melihat dua ekor kambing peliharaannya telah hilang. 

Bab 14: Hilang dari Kandang 
Tauke Lim datang kerana mahu membeli kambing Embong. Dia berasa hampa apabila mendapat tahu kambing tersebut telah hilang. Embong meluahkan rasa kesal kerana kambing itu menjadi harapannya. Embong yakin kambing peliharaannya telah dicuri orang. Embong meminta Tauke Lim memberitahu kepadanya jika ada orang yang ingin menjual kambing kepada Tauke Lim kerana dia ingin memastikan sama ada kambing itu miliknya atau milik orang lain.  
Dahlia teringat akan Azhari yang tetap ingin melamarnya walaupun telah mengetahui keadaan emaknya. Azhari  masih ingin mengikat tali pertunangannya dengan Dahlia kerana ibu bapanya mendesaknya berbuat sedemikian. Kemudian, Dahlia dikejutkan dengan kedatangan tetamu. Rupa-rupanya yang datang itu ialah rombongan keluarga Azhari yang ingin merisiknya.   

Bab 15: Ingin Mempersunting Bunga di Taman 
Keluarga Azhari telah datang merisik Dahlia. Embong berasa berat untuk menerima lamaran tersebut kerana Dahlia merupakan anak sulung yang menjadi harapan keluarga. Embong sangat berharap Dahlia dapat belajar hingga ke universiti dan dapat membantu keluarga. Walau bagaimanapun,ibu Azhari yang mengetuai rombongan itu kerana suaminya ke Kuala Lumpur. Beliau mengatakan bahawa perkara itu tidak menjadi halangan kepada ikatan Azhari dan Dahlia. Mereka sanggup menunggu Dahlia hingga tamat pengajiannya. Akhirnya, Embong menyerahkan keputusan itu kepada Dahlia, cincin merisik diletakkan dia atas meja. Selepas itu, Embong bersiap-siap untuk menunaikan solat di masjid. Semasa mandi, Embong telah dipatuk oleh seekor ular di pahanya. 

Bab 16: Bisa Ular Tedung 
Embong terpaksa dimasukkan ke wad untuk mendapatkan rawatan. Semasa ketiadaan abahnya, Dahlia terpaksa menguruskan banyak perkara. Melihatkan keadaan itu, Mawar menyuarakan hasratnya untuk berhenti sekolah agar dapat menjaga adik-adiknya. Dahlia melarang hasrat Mawar kerana Mawar pernah berjanji kepada emak mereka untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam SRP.  
Sewaktu Dahlia melawat abahnya di Hospital Batu Pahat, dia terserempak dengan Cikgu Hisyam dan Kavita yang kebetulan menghantar Siti Wangi yang pengsan semasa menjalani latihan bola jaring. Kemudian,Cikgu Hisyam dan Kavita menziarahi abah Dahlia. Cikgu Hisyam meminta Kavita untuk membuat salinan nota-nota sepanjang  Dahlia tidak hadir ke sekolah supaya dia tidak ketinggalan dalam pelajaran. 
Pada petang itu,Nek Kiah dan Seman datang melawat Embong. Nek Kiah memberitahu Dahlia sangkaannya bahawa rumah itu berhantu adalah benar kerana seorang demi seorang keluarga Dahlia mendapat bencana. Nek Kiah juga memberitahu tanah itu akan dijual dan menyuruh keluarga Dahlia duduk di kebun di hujung kampung . Dahlia tidak bersetuju dengan cadangan neneknya. 

Bab 17: Kupertahankan Tanah Sekangkang Kera 
Dahlia tertekan kerana banyak perkara yang difikirkannya. Antaranya ialah pelajarannya yang banyak ketinggalan disebabkan dia kerap ponteng sekolah, emaknya yang masih dirawat di hospital, abahnya dipatuk ular sedang dirawat di Hospital Batu Pahat, adiknya,  Abu Bakar tidak boleh diharap untuk membantunya dan juga hasrat Azhari yang ingin melamarnya. Semasa Abu Bakar balik ke rumah untuk menukar pakaian, Dahlia  memeriksa dompet milik adiknya, dia terkejut apabila terdapat RM120 di dalam dompet tersebut sedangkan adiknya tidak bekerja. 
Azhari datang ke rumah Dahlia untuk mengambil pakaian emak Dahlia. Azhari terkejut apabila dimaklumkan bahawa abah Dahlia dimasukkan ke Hospital Batu Pahat kerana dipatuk ular. Selepas Azhari pergi, Nek Kiah datang untuk bertanya tentang rancangannya untuk menjual tanah tempat tinggal keluarga Dahlia. Jika keluarga Dahlia mahu terus tinggal di situ mereka perlu membayar sebanyak RM15000 kepadanya. Dahlia tidak dapat membuat sebarang keputusan.  

Bab 18: Budi Tanpa Mengira Warna Kulit 
Pada pagi itu, Dahlia membawa Anggerik untuk melawat abahnya di hospital. Dia menunggu bas di pondok bas. Tauke Lim telah datang bertanyakan tanah yang akan dijual. Menurut Seman, Dahlia telah bersetuju untuk menjual tanah tersebut, tetapi Dahlia menafikannya. Tauke Lim berasa hairan akan sikap Nek Kiah yang tamak akan wang sedangkan Nek Kiah tidak mengalami masalah kewangan. Tauke Lim berjanji akan berbincang tentang perkara itu dengan abah Dahlia.Tauke Lim juga meminta agar Dahlia mengajarkan anaknya, Ann dalam penulisan karangan Bahasa Melayu kerana anaknya lemah dalam penulisan sedangkan peperiksaan SRP akan menjelang tidak lama lagi. Dahlia bersetuju untuk menerima tawaran Tauke Lim itu. Dahlia terkejut apabila tiba-tiba sahaja sebuah kereta Honda Civic milik Cikgu Hisyam berhenti di depan pondok bas tersebut. 

Bab 19 : Apabila Dua Jejaka Bertemu 
Cikgu Hisyam dan Kavita menasihati Dahlia supaya tidak berhenti sekolah sebaliknya terus bertahan lebih kurang empat lima bulan sahaja lagi sebelum menghadapi peperiksaan. Namun begitu, Dahlia terasa amat sukar untuk ke sekolah semula kerana memikirkan adik-adiknya yang memerlukan penjagaannya. 
Najib datang ke rumah Dahlia. Najib melihat ada beberapa orang sedang mengukur tanah di kawasan itu. Dahlia memaklumkan tanah itu akan dijual. Najib bersedia untuk membayar harga tanah tersebut tetapi Dahlia menolak tawaran Najib. Kemudian, Azhari pula datang ke rumah Dahlia. Timbul pelbagai persoalan dalam hati Azhari mengenai hubungan Najib dan Dahlia. 
Kedatangan Najib dan Azhari ke rumah Dahlia telah menyebabkan Nek Kiah memandang serong akan cucunya. Nek Kiah telah memberitahu Dahlia, tanah tersebut telah ada pembelinya. Oleh itu, Dahlia perlulah bersiap sedia untuk berpindah. 

Bab 20 : Ingin Kujunjung Langit 
Nek Kiah datang lagi untuk mengingatkan Dahlia tentang tanah tersebut yang akan dijual. Nek Kiah terkejut apabila melihat Embong ada di rumah. Apabila Nek Kiah bertanya kepada Dahlia sama ada dia telah memberitahu abahnya tentang hal tanah, Embong menggunakan kesempatan itu untuk mengenakan Nek Kiah dengan menggunakan parang yang sedang dipegangnya dengan mengatakan parang itu tajam dan senang hendak potong leher. Selepas itu,Nek Kiah pulang ke rumah. Dahlia memberitahu abahnya dia ingin bekerja bagi membantu meringankan beban abahnya.Akan tetapi, Embong tidak bersetuju kerana beliau mahu Dahlia belajar hingga ke universiti. 
Tauke Lim datang ke rumah Embong dan menyatakan kesanggupannya untuk membayar harga tanah yang mahu dijual oleh Nek Kiah supaya Embong dan keluarganya dapat terus tinggal di situ. Menurut Tauke Lim, beliau ikhlas membantu demi kebaikan bersama-sama.    

Bab 21: Hijrah Remaja Harapan 
Pada pagi itu, Dahlia pergi ke balai raya. Pada ketika itu, tidak ramai yang datang ke balai raya untuk bergotong-royong bagi majlis sambutan Maulidur Rasul yang akan diadakan malam nanti . Dahlia membantu kerja-kerja memasak di situ. Tauke Lim turut  menyumbangkan barang-barang untuk sambutan tersebut.Haji Sulaiman selaku ketua kampung amat risau akan hal ini kerana kurang sambutan. Aton dan Abu Bakar turut berada di balai raya itu. Kedatangan Abu Bakar mengejutkan Dahlia kerana dia tidak menyangka adiknya akan membantu kerja-kerja tersebut. 
Aton banyak bercakap daripada melakukan kerja. Dia memberitahu Mak Aji, isteri Haji Sulaiman bahawa Dahlia membawa lelaki silih berganti ke rumahnya.  Kata-kata Aton telah menyebabkan Dahlia bersedih. Abu Bakar yang terdengar akan kata-kata Aton itu telah hilang sabar dan hampir-hampir memukul Aton tetapi dihalang oleh Haji Sulaiman. 
Dahlia terus pulang ke rumah selepas peristiwa itu. Abu Bakar telah memujuk Dahlia. Dahlia memberitahu telah banyak dugaan yang ditempuhinya. Abu Bakar juga telah memeluk abahnya dan memberitahu dialah yang telah mencuri kambing milik abahnya.

Bab 22:  Kain Merah yang Reput  
Abu Bakar telah insaf akan perbuatannya yang terpengaruh oleh kawan-kawannya yang datang daripada keluarga yang senang. Dia banyak membantu dalam melakukan kerja-kerja rumah. Abu Bakar bertekad untuk memberi sumbangan kepada keluarganya. 
Sewaktu mengemas barang-barang di bawah rumahnya, Abu Bakar terjumpa  kain merah yang hampir reput membalut dua biji telur ayam yang mengandungi jarum peniti, cincin akik, butiran pasir, dan dua batang paku. Barang-barang ini menunjukkan selama ini ada orang yang berhasad dengki terhadap keluarga mereka. Abu Bakar ingin menunjukkan barang-barang itu kepada Embong tetapi dilarang oleh Dahlia. Dahlia menyuruh Abu Bakar membuangnya ke sungai. Dahlia melarang adiknya menyimpan perasaan dendam. 
Dahlia mendapati Nek Kiah sudah beberapa hari tidak kelihatan di rumahnya atau di mana-mana di kampung itu. Keadaan ini merisaukan Dahlia. Dahlia telah pergi ke rumah Nek Kiah dan didapati neneknya sedang sakit. Namun begitu, Nek Kiah telah menghalaunya. 

Bab 23: Sinar Kebahagiaan 
Dahlia kembali semula ke sekolah. Kehadiran dahlia disambut dengan gembira oleh kawan-kawannya.Kavita memberitahu Dahlia bahawa Najib begitu berharap agar Dahlia dapat menerima cintanya. Akan tetapi, Dahlia hanya menganggap Najib sebagai sahabat sahaja, tidak lebih daripada itu. 
Semasa pulang ke rumah, Dahlia amat gembira apabila mendapati emaknya telah pulang dari hospital. Saleha telah pulih daripada penyakitnya.Azhari juga ada bersama-sama ketika itu. Dahlia mengajak Azhari pergi ke rumah neneknya. Nek Kiah terbaring dalam keadaan mata yang terpejam. Panggilan Dahlia juga tidak disahutnya.  

Bab 24: Runtuhnya Tembok Kesombongan 
Nek Kiah tinggal di rumah Embong selepas dimasukkan ke wad selama dua hari. Nek Kiah berasa bersalah terhadap keluarga Embong. Mereka melayan Nek Kiah dengan baik. Anak-anak dan cucunya yang lain, termasuk Seman langsung tidak menziarahinya ketika beliau sakit. 
Pada hari itu, hujan turun dengan lebat. Air sungai sudah mula melimpah. Abu Bakar memaklumkan jambatan telah patah dan orang kampung telah mula mengemas barang-barang untuk berpindah ke balai raya. Embong dan ahli keluarganya turut berkemas untuk berpindah ke balai raya. 
Dahlia dan keluarganya berpindah dengan menaiki bot ke balai raya. Terdengar rungutan penduduk tentang keadaan yang berlaku itu. Bagi Haji Sulaiman, banjir yang berlaku itu ada hikmah yang tersendiri. 

Bab 25: Inilah Kampungku ! 
Banjir telah menyebabkan rumah Embong roboh . Nek Kiah telah mengajak Embong sekeluarga tinggal di rumahnya. Mereka bersyukur akan perubahan Nek Kiah. Nek Kiah juga tidak lagi menyebut tentang tanah yang hendak dijual itu. 
Sebelum semua mangsa banjir pulang ke rumah masing-masing, Haji Sulaiman telah menyampaikan ucapan kepada penduduk Kampung Parit Haji Rais. Beliau menyeru agar penduduk kampung saling membantu antara satu sama lain dan prihatin akan masalah jiran tetangga. Beliau juga berharap supaya penduduk kampung bersatu dan bersama-sama menjayakan apa-apa projek di kampung itu keran mereka hidup bermasyarakat.  
Kesan daripada kata-kata Haji Sulaiman, penduduk kampung itu mulai insaf dan mereka telah bergotong-royong  membina rumah Embong semula dengan wang sumbangan parti. Haji Sulaiman bangga akan perubahan sikap penduduk kampungnya. Begitu juga dengan Tauke Lim. Dahlia amat terharu dan terasa dirinya tidak disisihkan. Tauke Lim mengusik Dahlia, rumah baharu nanti bolehlah dia naik pelamin. 

Bab 26: STPM, akan Kugapai Kecemerlangan 
Dahlia sibuk membuat persiapan terakhir sebelum peperiksaan STPM menjelang. Dalam kesibukan itu, Azhari telah datang dengan ibunya bagi membincangkan tarikh pertunangan mereka. Keputusan dibuat pada 30 Disember, iaitu selepas Dahlia tamat peperiksaannya Dahlia hanya menurut sahaja kehendak keluarga Azhari dan keluarganya. 
Selepas tamat peperiksaan,Dahlia berasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan kawan-kawannya. Dahlia juga memberitahu Siti Wangi dan Kavita tentang pertunangannya. Dahlia juga bercadang untuk bekerja di kilang untuk mencari pengalaman.     

Bab 27: Bunga-bunga Kejayaan dalam Genggaman 
Cikgu Daim telah datang ke rumah Embong untuk memberitahu bahawa Dahlia telah terpilih untuk mengikuti pengajian di salah sebuah universiti di  Jepun selama empat tahun. Pemilihan Dahlia dibuat atas cadangan sekolahnya dan Jabatan Pelajaran Johor berdasarkan pencapaiannya dalam peperiksaan. Sebelum bertolak ke Jepun Dahlia akan belajar bahasa Jepun di Universiti Malaya selama enam bulan. 
Azhari terdengar berita itu ketika dia datang untuk membeli cincin pertunangan mereka.Dia mengucapkan tahniah dan merelakan Dahlia belajar di Jepun.Dahlia akan mendaftar di Universiti Malaya sehari selepas dia bertunang dengan Azhari. 

Bab 28 : Koi-bito 
Dahlia amat gembira kerana hubungan keluarganya dengan Nek Kiah semakin rapat. Akan tetapi, Dahlia rasa sedikit berduka kerana dia akan ke Kuala Lumpur selepas pertunangannya. Nek Kiah telah menghadiahkan gelang pusaka kepada Dahlia.  
Dahlia teringat kembali kenangannya sewaktu pergi membeli cincin dengan Azhari. Kawan-kawan Dahlia dan Cikgu Hisyam turut hadir sewaktu majlis pertunangannya. Bas ke Kuala Lumpur akan bertolak pukul 5:00 petang tetapi rombongan keluarga Azhari belum juga sampai. Dahlia semakin risau. Abahnya menyuruh Dahlia berkemas untuk bertolak ke Kuala Lumpur. Haji Sulaiman menyerahkan sumbangan orang kampung kepada Dahlia sebanyak RM500 termasuk yang diberi oleh Tauke Lim sebanyak RM300. 
Akhirnya, Dahlia tiba di stesen bas Bandar Penggaram yang jauhnya kira-kira 17 kilometer dari kampungnya.Azhari datang berjumpa dengan Dahlia dan memberitahu punca kelewatannya kerana jurucakap majlis yang merupakan pak ciknya lambat sampai. Sebelum menaiki bas, Azhari telah menghadiahkan sehelai songket berbenang emas berwarna merah kepada Dahlia. Azhari juga menyebut “Koi-bito” yang tidak diketahui maksudnya. Azhari meminta Dahlia agar menjaga jati diri sebagai orang Melayu walau berada di mana-mana pun.