Ahad, November 01, 2015

Sinopsis Bab 25 - Bab 30: Jendela Menghadap Jalan

Bab 25
Menjelang pagi, Lili memberitahu nenek agar berada di luar, sama ada untuk melihat kubah surau atau bertemu dengan Che Jah. Nenek menasihati Lili agar dalam keadaan sebegini lebih selamat tidak berjumpa dengan sesiapapun. Mengikut nalurinya, pada hari ini Lili perlu berkomunikasi dengan seseorang. Danel datang membawa gulai kari pisang ikan masin yang dimasak sendiri dan menyampaikan suatu pesanan khas ayahnya kepada datuk. Berita kenaikan harga minyak petrol dan disel telah menenggelami isu kubah surau ketika ini. Di mana-mana sahaja semua penduduk akan membincangkan kenaikan harga bahan api tersebut dan mengeluh tentangnya. Begitu juga kenaikan harga barangan  lain termasuk perubatan. Datuk sempat memperli Danel, bahawa kos perubatan tradisional sahaja yang tidak naik. Lili ke rumah Che Jah untuk menziarahinya dan sempat melihat keuzuran Haziq yang belum sembuh akibat dibelasah oleh ayahnya. Che Jah begitu mesra melayan Lili. Jangkaan dan gambaran buruk perwatakan  Che Jah oleh nenek jauh berbeza. Lili memberitahu Che Jah bahawa dia akan kembali ke Kuala Lumpur seminggu lagi.
Bab 26
Lili berpendapat bahawa terdapat dua cadangan  yang perlu diketengahkan iaitu perlunya dibina sebuah masjid dan melaporkan jenayah yang dilakukan oleh Seman terhadap ahli-ahli keluarganya.kepada biro pengaduan Datuk menasihati Lili agar tidak memikirkan hal-hal yang berat tetapi  lebih memberi tumpuan untuk menghabiskan cuti persekolahannya Danel pula telah banyak membantu, seperti menyelamatkan nyawa, membawanya ke pekan dan dalam segala hal juga mereka bersependapat. Lili juga berpandangan bahawa tugas membangunkan kampung terletak di bawah tanggung jawab Danel sebagai penduduk tetap dan dia perlu memperjuangkannya.
Bab 27
Nenek bersuara janggal dengan mengatakan sesuatu sambil memanggil Abang Rashid. Abang Rashid pula tergesa-gesa menyediakan basikalnya untuk membawa nenek ke rumah Che Jah. Ada sesuatu perkara yang berlaku di sana sehingga menyebabkan nenek bergegas ke rumah Che Jah. Lili dan Danel juga segera ke rumah Che Jah tetapi masih belum pasti kejadian yang berlaku. Sebaik-baik sahaja sampai kedengaran tempikan seorang lelaki, pastinya Seman yang sedang berang. Terdapat beberapa orang di dalam rumah Che Jah ketika itu. Tiba-tiba seorang pemuda jatuh terhumban dari atas rumah, iaitu Haziq dengan keadaan tubuhnya berdarah. Seman yang naik angin dan dalam keadaan yang tidak siuman telah menerajang Haziq sehingga menyebabkan mulutnya berdarah. Tiada seorangpun yang berani meleraikan ketegangan itu Mereka hanya berani melihat peristiwa yang berlaku. Che Jah pula memekik sambil minta cerai kerana tidak sabar lagi dengan karenah suaminya yang sering bertindak melulu.
Bab 28
Che Jah belum berjaya menuntut cerai daripada suaminya. Suaminya iaitu Seman masih dengan perangai buruknya sebagai kaki judi, sering pulang lewat malam selain  sering memukul anak-anak dan isterinya. Seorang pesakit baru datang berubat dengan datuk kerana penyakit gout. Datuk meminta Lili mengambilkan sebotol herba untuk pesakit wanita tersebut dan menerangkan pantang larang tentang penyakit tersebut. Pesakit wanita tersebut bernama Puan Hamimah dalam usia tiga puluhan lebih selesa dengan panggilan Kak Mimah sanggup bermalam di rumah datuk kerana  berubat. Hasil perbualan dengan Lili, Kak Mimah bekerja sebagai penolong pegawai, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Bahagian Warga Tua dan Keluarga. Tugasnya berkaitan dengan keganasan rumah tangga, penganiayaan kanak-kanak dan pengabaian warga tua. Lili telah mengambil kesempatan dan peluang ini untuk membuat aduan terus kepada Kak Mimah dengan memanjangkan kes keluarga Che Jah untuk diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
Bab 29
Kak Mimah bersetuju membantu Lili untuk menyelesaikan masalah keluarga yang dihadapi oleh Che Jah, yang akan diletakkan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Kak Mimah akan balik ke Kuala Lumpur dan akan membuat laporan berkaitan dengan kes tersebut manakala Lili pula akan menjadi saksi. Danel datang ke rumah ketika datuk dan nenek tiada di rumah. Lili bersembang dengan Danel  di pangkin sambil membincangkan pembinaan masjid dan bercadang untuk meengadakan pertemuan dengan penduduk kampung.
Bab 30
Danel mencadangkan pengumuman akan dibuat di surau untuk mengadakan pertemuan dengan penduduk kampung ketika majlis pernikahan anak pak busu pada hari Jumaat nanti. Danel dan Lili bercadang untuk bertemu dengan Geetha bagi memintanya menyelesaikan masalah keluarga Che Jah. Geetha bersetuju dan ingin bertemu dengan Che Jah terlebih dahulu. Mereka ke rumah Che Jah setelah mendapat kebenaran ibu Geetha, tetapi Che Jah tiada di rumah.



Tiada ulasan: