Ahad, November 01, 2015

Sinopsis Bab 19 - Bab 24:Jendela Menghadap Jalan

Bab 19
Sebelum pulang, Danel dan Lili singgah di restoran makanan segera untuk makan dua biji burger, kentang goreng dan minuman berkarbohidrat yang boleh mengundang penyakit darah tinggi. Danel juga memberitahu bahawa nenek Lili memang pandai memasak dan masakannya sungguh sedap. Dia juga selalu ke rumah nenek untuk membantu nenek masak tanpa pengetahuan Lili. Menu masakan semuanya menggunakan pisang sebagai bahan campuran. Mereka singgah di pasar raya untuk membeli beberapa barang keperluan. Seterusnya, Lili merancang untuk singgah ke rumah Geetha. Setelah selesai, mereka pulang menaiki bas. Mereka menyusuri jalan ke kampung dan Danel mengekori Lili dari belakang. Sebaik sahaja sampai ke jalan besar yang berturap, kelihatan seorang budak lelaki dikejar oleh beberapa orang lelaki dengan suara yang memekik. Lili mengenali itulah anak-anak Che Jah yang sering menimbulkan masalah. Tiba-tiba tangan Lili dipulas. Danel tergamam kerana senjata tajam yang dipegang oleh Rafiq telah diacukan ke leher Lili. Sebaik sedar, Lili telah berada di tempat penculikan yang dilakukan oleh kedua-dua anak lelaki Che Jah.

Bab 20
Lili disembunyikan di sebuah rumah usang berlantaikan buluh. Danel telah datang menyelamatkan Lili pada waktu malam kerana Danel memang tahu tempat persembunyian Rafiq dan Haziq. Danel tidak memaklumkan kejadian itu kepada penduduk kampung atas alasan tertentu. Menurut Danel, Haziq satu sekolah dengannya dan merupakan seorang pelajar pintar. Namun, pergaulan bebasnya dengan  kutu-kutu rayau menyebabkan dirinya terperangkap dengan jenayah seperti mencuri, menagih dadah dan pecah rumah. Mereka juga sanggup melakukan kekerasan dan mengugut ibunya sendiri. Penduduk kampung sering menyumpah mereka dan berharap  agar mereka ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Sebaik-baik sahaja sampai ke rumah, nenek menyambut kepulangan Lili dengan tangisan kerana bimbang akan keselamatan cucunya. Sebenarnya, nenek tahu tentang kejadian yang menimpa Lili.

Bab 21
Lili berasa simpati tentang nasib malang Rafik dan Haziq kerana berpunca daripada masalah keluarga yang dihadapi oleh mereka. Sebaik sahaja berjumpa Danel, Lili terus bertanyakan khabar berita tentang nasib mereka dua beradik. Ketua kampung pula telah mengarahkan penduduk kampung merobohkan pondok tempat persembunyian mereka. Namun, Lili tetap berasa simpati dengan keadaan hidup malang yang menimpa Che Jah, Rafiq dan Haziq. Menerusi maklumat yang diperoleh daripada neneknya, banyak kejadian yang bersifat negatif dan menyedihkan menimpa mereka sekeluarga.  Oleh itu, Lili bercadang untuk berjumpa dengan Geetha untuk mendapatkan maklumat yang lebih telus dan bersifat terbuka. Bagi Lili, Rafiq dan Haziq merupakan manusia biasa yang memerlukan pertolongan dan perhatian semua pihak, bukan mengutuk dan menghina mereka secara berterusan. Lili memohon kebenaran untuk ke rumah Geetha, tetapi neneknya tidak membenarkannya atas faktor keselamatan.

Bab 22
Abang Rashid memberitahu Lili bahawa Haziq dan Rafiq telah ditangkap oleh penduduk kampung dan salah seorang daripadanya teruk dibelasah oleh ayah mereka. Lili bercadang ke rumah Che Jah untuk mengetahui keadaan yang sebenar dan kemudiannya merancang pergi ke pekan bersama dengan Abang Rashid. Sebaik-baik sahaja sampai ke rumah Che Jah, Lili disambut dan dipersilakan masuk ke dalam rumah. Che Jah menjelaskan bahawa Haziq teruk dibelasah dengan tali pinggang oleh ayahnya. Menurut cerita Che Jah lagi, Haziq semasa alam persekolahan dulu merupakan seorang pelajar yang pandai, tetapi telah dibuang sekolah kerana selalu ponteng dan melawan guru. Haziq menjadi nakal kerana bergaul bebas dengan budak-budak nakal sehingga perangainya tidak dapat dilentur. Che Jah memohon maaf kepada Lili tentang perkara yang dilakukan oleh anaknya terhadap Lili, tetapi Lili secara ikhlas telah memaafkannya. Che Jah memuji-muji kebaikan hati Lili yang sanggup datang menjenguk dan bertanya khabar. Che Jah mempelawa Lili untuk makan tengah hari di rumahnya tetapi dia tidak menolak pelawaan itu.

Bab 23
Nenek menegur Lili kerana mengambil tahu tentang hal keluarga orang lain. Nenek juga memberitahu bahawa orang kampung memang suka bermuka-muka. Kadang-kadang mereka boleh mengumpat hanya melalui jendela sahaja. Lili menghampiri datuk yang masih belum selesai dengan isu kubah surau dan herba-herba ubatan tradisionalnya. Seman iaitu suami Che Jah merupakan seorang bapa yang sangat garang. Seman bukan sahaja garang terhadap anak-anaknya tetapi juga terhadap orang lain yang berurusan dengannya. Kelakuan buruk Seman ialah dia suka berjudi, berhutang, menipu,  minum arak dan anak-anak serta isterinya akan menjadi mangsa kekejamannya. Lili melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap segala tindakan dan perbuatan Seman yang tersalah mendidik anak-anak dalam membina keluarga bahagia.

Bab 24
Menjelang waktu isyak, melalui jendela Lili ternampak sebuah lori membawa kubah, dan di puncaknya terdapat bulan sabit. Selepas jam sepuluh malam, barulah Lili mendapat berita daripada datuk bahawa kubah surau akan dipasang dalam masa terdekat. Kini isu kubah surau telah menjadi perbualan hangat dalam kalangan penduduk kampung. Abang Rashid lebih suka sebuah masjid didirikan di kampung tersebut sebagai tanda pembangunan. Begitu juga dengan Lili. Datuk pula tidak kisah sama ada kubah surau atau sebuah masjid yang dibina tetapi perkara yang penting ilmu-ilmu agama berjaya ditegakkan.



Tiada ulasan: