Sabtu, Ogos 20, 2016

Novel Jendela Menghadap Jalan dan Songket Berbenang Emas: Panduan Jawapan

1. Berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari, huraikan dua keistimewaan watak utama sehingga menimbulkan perasaan kagum dalam diri pembaca.

          Novel yang saya kaji ialah Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip. Watak utama dalam novel ini ialah Dahlia.
          Keistimewaan watak utama sehingga menimbulkan perasaan kagum dalam diri pembaca ialah Dahlia seorang yang berhemah tinggi. Contohnya, Dahlia tidak membalas dengan kata-kata yang kasar atau kesat apabila Mak Aton memaki hamun dan memfitnahnya sebagai perempuan yang tidak baik.
          Keistimewaan watak utama yang seterusnya ialah Dahlia seorang yang bertanggungjawab. Dahlia bersedia untuk menjaga adik bongsunya , Anggerik dan adik-adiknya yang lain sepanjang ibunya menerima rawatan di hospital kerana dia sedar akan tanggungjawabnya sebagai anak sulung dalam keluarga.
          Keistimewaan watak utama yang lain ialah Dahlia seorang yang gigih. Contohnya, Dahlia gigih mengulang kaji pelajaran sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan STPM walaupun berhadapan dengan berbagai-bagai cabaran seperti  masalah emaknya yang sakit dan peristiwa tragis ayahnya yang dipatuk ular tedung.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
2. Pengarang sering mengemukakan pelbagai nilai kemanusiaan dalam novel untuk dijadikan penduan kepada pembaca.
Berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari, huraikan dua nilai kemanusiaan yang boleh dijadikan panduan kepada pembaca.

          Novel yang saya kaji ialah Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip. Banyak nilai kemanusiaan yang diutarakan oleh pengarang dalam novel ini.
          Dua nilai kemanusiaan yang boleh dijadikan panduan kepada pembaca ialah nilai belas kasihan. Contohnya, Tauke Lim bersimpati terhadap nasib Embong yang berhadapan dengan pelbagai masalah, iaitu masalah kesihatan isterinya, masalah anak lelaki tunggalnya yang menjadi kutu rayau, dan masalah ibu mentuanya yang bersikap prejudis terhadap dirinya sekeluarga.
          Nilai kemanusiaan seterusnya yang boleh dijadikan panduan kepada pembaca ialah nilai keberanian. Contohnya, Dahlia bertindak berani dengan terjun ke dalam sungai yang berarus deras dan berkeladak semata-mata untuk menyelamatkan Said yang lemas.
     Nilai kemanusiaan seterusnya ialah nilai bertanggungjawab. Contohnya, Dahlia bertanggungjawab menjaga adik-adiknya sepanjang ibunya mendapat rawatan di hospital dan semasa ayahnya keluar bekerja mencari nafkah.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
3. Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan satu persoalan kasih sayang yang terdapat dalam setiap novel tersebut.

          Novel yang saya kaji ialah Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin dan Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip. Banyak persoalan kasih sayang yang dikemukakan oleh pengarang dalam kedua-dua buahnovel tersebut.
          Persoalan kasih sayang yang terdapat dalam novel Jendela Menghadap Jalan ialah kasih sayang seorang anak terhadap ibunya. Contohnya, Lili hanya menurut kemahuan ibunya yang meminta dia bercuti di kampung halaman ibunya di Kampung Sentosa walaupun pada awalnya Lili agak keberatan.
             Persoalan kasih sayang yang terpat dalam novel Songket Berbenang Emas pula ialah kasih sayang seorang kakak terhadap adik-adiknya. Contohnya, Dahlia sanggup keluar dari asrama untuk menjaga adik-adiknya sepanjang ibunya mendapat rawatan di hospital. Dahlia juga bersedia mendengar keluhan Melati dan Mawar tentang perkara yang berlaku di sekolah mereka.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
4. Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan satu perwatakan watak utama yang terdapat dalam setiap novel tersebut.

          Novel yang saya kaji ialah Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin dan Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip.
          Watak utama dalam novel Jendela Menghadap Jalan ialah Lili. Lili merupakan seorang remaja yang baik hati. Contohnya, Lili telah memaafkan perbuatan Rafiq dan Haziq yang telah menculik dan mengurungnya di rumah usang berlantaikan buluh. Lili juga tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mereka yang telah menculik dan menjadikannya sebagai tebusan.
          Watak utama dalam novel Songket Berbenang Emas ialah Dahlia. Dahlia merupakan seorang remaja yang sangat bertanggungjawab terhadap keluarganya. Dahlia bertanggungjawab menjaga makan minum ayah dan adik-adiknya sepanjang emaknya mendapat rawatan di hospital. Dahlia juga mengambil keputusan untuk keluar dari asrama dan menjaga adik-adiknya sementara ayahnya keluar bekerja mencari nafkah.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
5. Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan satu persoalan tanggungjawab   yang terdapat dalam setiap novel tersebut.

          Novel yang saya kaji ialah Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin dan Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip. Terdapat banyak persoalan tanggungjawab dalam kedua-dua buah novel tersebut.
     Persoalan tanggungjawab yang terdapat dalam novel Jendela Menghadap Jalan ialah tanggungjawab terhadap seorang rakan. Contohnya, Danel seorang yang bertanggungjawab kerana telah menyelamatkan rakannya, iaitu Lili yang diculik dan dijadikan tebusan oleh Haziq dan Rafiq di sebuah pondok buruk di hujung kampung.
        Persoalan tanggungjawab yang terdapat dalam novel Songket Berbenang Emas pula ialah tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Contohnya, Embong yang hidup dalam kemiskinan tetap bertanggungjawab  menyara kehidupan keluarganya dengan mengambil upah menoreh getah dan memetik buah kelapa sawit. Dia juga sentiasa bertanggungjawab memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan yang sempurna.

 -------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
6. Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan satu peristiwa yang menunjukkan permasalahan masyarakat   yang terdapat dalam setiap novel tersebut.

          Novel yang saya kaji ialah Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin dan Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip. Terdapat beberapa peristiwa yang menunjukkan permasalahan masyarakat dalam kedua-dua buah novel tersebut.
          Berdasarkan novel Jendela Menghadap Jalan, peristiwa yang menunjukkan permasalahan masyarakat ialah masyarakat yang tidak bertanggungjawab. Contohnya, suami Cik Jah iaitu Pak Seman sering memukul Cik Jah. Dia juga sering berjudi sehingga melupakan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.
           Sementara dalam novel Songket Berbenang Emas, peristiwa yang menunjukkan permasalahan masyarakat ialah masyarakat yang suka menghina orang lain. Buktinya, Mak Aton yang suka menghina Dahlia dan keluarganya disebabkan kemiskinan mereka. Mak Aton juga suka menabur fitnah tehadap Dahlia dengan mengatakan bahawa Dahlia sudah ditebuk tupai kerana lelaki datang ke rumahnya silih berganti.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
7. Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan satu pengajaran  yang terdapat dalam setiap novel tersebut.

          Novel yang saya kaji ialah Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin dan Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip. Banyak pengajaran yang dikemukakan oleh pengarang dalam kedua-dua buah novel tersebut
          Satu pengajaran yang terdapat dalam novel Jendela Menghadap Jalan ialah kita hendaklah mengamalkan kasih sayang dalam kehidupan seharian. Contohnya, Lili amat mengasihi ibu dan bapanya. Dia tidak membantah cadangan ibunya yang akan menghantarnya bercuti ke kampung kelahiran ibunya di Dungun, Terengganu walaupun hatinya begitu berat untuk berbuat demikian.
           Satu pengajaran yang terdapat dalam novel Songket Berbenang Emas pula ialah kita mestilah gigih dan tekun dalam menuntut ilmu. Contohnya, Dahlia gigih belajar tanpa mengenal erti jemu dan penat sebagai persediaannya untuk menghadapi peperiksaan STPM walaupun terpaksa berkorban masa, tenaga, dan tempat menuntut ilmu.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
8. Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, jelaskan satu peristiwa yang meninggalkan kesan mendalam kepada anda  yang terdapat dalam setiap novel tersebut.

          Novel yang saya kaji ialah Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin dan Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip.
           Dalam novel Jendela Menghadap Jalan, peristiwa yang meninggalkan kesan mendalam kepada saya ialah sikap memaafkan kesalahan orang lain. Peristiwa ini memberikan kesan yang mendalam kepada saya kerana Lili sanggup memaafkan kesalahan yang dilakukan oleh Haziq dan Rafiq yang telah bertindak mengurung dan menjadikannya tebusan. Malahan Lili juga bersimpati terhadap nasib mereka berdua dan berharap agar mereka akan berubah.   
        Dalam novel Songket Berbenang Emas pula, peristiwa yang meninggalkan kesan mendalam kepada saya ialah sikap bertanggungjawab seorang bapa terhadap anak-anaknya. Peristiwa ini memberikan kesan yang mendalam kepada saya kerana Embong tetap tidak membenarkan anaknya, Dahlia berhenti sekolah untuk menjaga adik-adiknya. Sebagai bapa, Embong bertanggungjawab menyediakan pendidikan kepada mereka demi masa depan mereka yang cemerlang.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
9. Terdapat pelbagai masalah kehidupan yang ditonjolkan dalam novel yang anda pelajari.
Berdasarkan dua masalah kehidupan dalam sebuah novel yang anda kaji, berikan cara masalah tersebut dapat diselesaikan.

          Novel yang saya kaji ialah Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin. Banyak masalah kehidupan yang dikemukakan oleh pengarang dalam novel ini.
               Antara masalah kehidupan yang terdapat dalam novel ini ialah masalah keganasan rumah tangga. Contohnya, Seman, iaitu suami Che Jah merupakan suami dan ayah yang tidak bertanggungjawab. Seman suka berjudi, berhutang, memukul anak dan minum arak. Masalah ini berjaya diselesaikan apabila Che Jah membuat laporan polis dan Seman berjaya ditangkap oleh pihak polis.
          Seterusnya, masalah kehidupan yang terdapat dalam  novel ini ialah masalah sosial yang menimpa remaja. Contohnya, Haziq dan Rafiq merupakan anak-anak Che Jah yang terlibat dengan masalah sosial akibat tersalah memilih kawan. Hal ini menyebabkan mereka diberhentikan sekolah. Namun, masalah Haziq dan Rafiq ini berjaya diselesaikan apabila mereka berdua kembalike sekolah untuk menduduki peperiksaan PMR.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
10. Terdapat pelbagai masalah kehidupan yang ditonjolkan dalam novel yang anda pelajari.
Berdasarkan dua masalah kehidupan dalam sebuah novel yang anda kaji, berikan cara masalah tersebut dapat diselesaikan.

          Novel yang saya kaji ialah Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip. Banyak masalah kehidupan yang dikemukakan oleh pengarang dalam novel ini.
            Antara masalah kehidupan yang terdapat dalam novel ini ialah masalah kemiskinan hidup sebuah keluarga. Contohnya, Embong sekeluarga hidup dalam kemiskinan. Hal ini menyebabkan Embong menghadapi masalah untuk membeli bekalan makanan bagi menampung keluarganya. Masalah ini dapat diselesaikan apabila Tauke Lim membenarkan Embong berhutang di kedainya. Tauke Lim juga menghulurkan RM300 kepada Dahlia kerana dapat melanjutkan pelajaran ke Jepun.
         Seterusnya, masalah kehidupan yang terdapat dalam novel ini ialah masalah penghinaan terhadap orang lain. Contohnya, Nek Kiah sangat membenci keluarga Dahlia. Dia juga sering menghina keluarga Dahlia. Masalah ini dapat diselesaikan apabila Nek Kiah terlantar sakit sehingga menimbulkan keinsafan kepada Nek Kiah atas sikapnya selama ini.

8 ulasan:

Unknown berkata...

Cikgu nama saya Loh Kah Ming...nak tanya ade tak peristiwa.

Tanpa Nama berkata...

Xde

Tanpa Nama berkata...

bebps

Onny mus berkata...

mana peristiwa kesedaran tu????

Unknown berkata...

cikgu saya nak minta tntg 2 peristiwa yg berkaitan dengan persoalan ketegasan dlm membuat keputusan.

Unknown berkata...

Cg saya nk tanya,,apakah tiga peristiwayang tidak wajar dicontohi dlm novel ini,,saya harap cg boleh hantar jawapan secepat yang mungkin

arvind berkata...

nak jugak

Unknown berkata...

Saya nak keistimewaan novel jendela menghadap jalan