Sabtu, September 08, 2012

Kajian Novel SPM: Cabaran yang dihadapi oleh watak utama

Watak utama dalam sesebuah novel banyak menghadapi cabaran. Nyatakan cabaran watak utama dalam novel yang anda baca.

AZFA HANANI
Novel yang saya kaji ialah Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah. Dalam novel ini, terdapat beberapa beberapa cabaran yang terpaksa dilalui oleh watak utama iaitu Azfa Hanani.
Cabaran yang dihadapi oleh watak utama dalam novel ini ialah cabaran dalam menjalani cara hidup yang baharu. Hal ini dapat dilihat apabila Azfa Hanani terpaksa menyamar sebagai Tengku Murni. Dia terpaksa mempelajari segala perwatakan dan gerak-geri Tengku Murni agar penyamarannya dapat meyakinkan Datin Maziah bahawa dirinya ialah Tengku Murni.
Cabaran yang kedua ialah cabaran bagi meneruskan pelajaran. Azfa Hanani terpaksa mencuri buku rujukan di perpustakaan memandangkan kesempitan hidup yang dialaminya sehinggakan tidak mampu untuk membeli buku-buku rujukan. Selain itu, dia terpaksa berulang-alik sejauh 30 kilometer setiap hari untuk ke sekolah bagi mendapatkan ilmu.
Cabaran yang berikutnya, ialah cabaran bagi menyesuaikan diri di sekolah baharu. Azfa Hanani terpaksa menghadapi sikap buruk Budak Glamour yang tidak suka akan dirinya kerana seiras dengan Tengku Murni. Dia tetap bersikap tenang dan merendah diri walaupun mereka tidak suka akan dirinya.


KEMBARA AMIRA
Novel yang saya kaji ialah novel Kembara Amira karya Amer Hmzah L. Kadir. Dalam novel ini, terdapat beberapa beberapa cabaran yang terpaksa dilalui oleh watak utama iaitu Amira.
Cabaran yang pertama ialah cabaran semasa mencari orang hilang. Amira yang begitu risau dengan kehilangan Malique telah meminta bantuan Itau untuk mencari Malique. Dia sanggup menempuh cabaran semasa mencari Malique yang hilang setelah kenderaannya dihanyutkan lumpur dan jatuh ke dalam gaung. Pencarian mereka melalui mobile disk yang dijadikan petunjuk telah membawa mereka ke puncak Gunung Gua Gajah. Di sana Amira, Itau dan beberapa orang lain telah berhadapan dengan makhluk berkaki dua dan berbulu lebat sebagaimana yang diceritakan oleh Itai kepadanya.
Cabaran yang kedua ialah cabaran untuk menghadapi hukum adat masyarakat Orang Asli. Hal ini berlaku apabila Amira mengikut Itai mendapatkan ketulan emas untuk diberikan kepada Jacinta. Perbuatan Itai telah melanggar adat masyarakat Orang Asli. Itai telah mengingatkan Amira bahawa mereka terpaksa menerima apa sahaja hukuman yang akan dikenakan atas mereka.
Cabaran yang seterusnya ialah cabaran ketika hampir lemas di sungai. Amira telah  terjatuh ke dalam sungai yang mengalir deras semasa menunggu Malique. Nasibnya baik apabila diselamatkan oleh Itai, seorang remaja orang Asli yang baik hati. Cabaran dan pengalaman itulah yang menyebabkan dia mengenali Itai dan Tau.

Tiada ulasan: