Selasa, Oktober 25, 2011

Latihan Kajian Novel SPM



Huraikan dua persoalan kerjasama dalam kedua-dua novel yang anda kaji.(8m)
          Novel yang saya kaji ialah Azfa Hanani dan Kembara Amira. Kedua-dua novel memaparkan persoalan kerjasama. 
          Persoalan kerjasama dalam novel Azfa Hanani ialah kerjasama menganjurkan majlis. Buktinya, pelajar-pelajar Tingkatan 5 menganjurkan Hari Sumbangsih. Hasil kerjasama semua pelajar, program tersebut berjaya dijalankan dengan lancar dan mereka berjaya mengumpul dana sebanyak RM 16,000.00.
         Persoalan kerjasama yang kedua ialah kerjasama membantu rakan. Buktinya, Azfa Hanani bersedia menggantikan tempat Ellina sebagai Pengerusi Forum kerana kesibukan Ellina menguruskan Malam Sumbangsih  
    Persoalan kerjasama dalam novel Kembara Amira ialah kerjasama berpasukan yang erat dalam menjalankan tugas. Buktinya, Profesor Zaidah dan Dr. Zawawi bekerjasama dengan pelajar-pelajar menjalankan kajian arkeologi di Desa Karpus.
      Persoalan kerjasama yang kedua ialah kerjasama membantu orang yang memerlukan pertolongan. Buktinya, Itai telah membantu menyelamatkan nyawa Amira yang hanyut dalam arus sungai yang deras manakala Tau pula  telah membantu  Jacinta yang sesat di dalam hutan.
  
2.      Huraikan dua peristiwa yang memaparkan nilai tanggungjawab dalam sebuah novel yang anda kaji. (7 m)
               Novel yang saya kaji ialah Azfa Hanani.  Pengarang telah memaparkan nilai tanggungjawab dalam novel ini. 
             Peristiwa pertama yang memaparkan nilai tanggungjawab dalam novel ini ialah tanggungjawab terhadap tugas yang diamanahkan. Buktinya, Azfa Hanani telah melaksanakan tugas sebagai pengerusi forum Hari Sumbangsih dengan cemerlang sekali.
                   Peristiwa kedua yang memaparkan nilai tanggungjawab ialah tanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan. Buktinya, Azfa Hanani tetap mengeposkan buku-buku rujukan SPM yang “dipinjamnya” itu kepada Cikgu Zamin.
                Peristiwa seterusnya ialah tanggungjawab untuk membahagiakan orang lain. Buktinya, Azfa Hanani sanggup menyamar sebagai Tengku Murni kerana bertanggungjawab untuk memastikan Datin Maziah kembali pulih daripada tekanan perasaan yang dihadapinya.

3.     Huraikan satu peristiwa yang mencemaskan dalam dua buah novel yang anda kaji. (8m)
                Novel yang saya kaji ialah Azfa Hanani dan Kembara Amira. Kedua-dua novel memaparkan peristiwa yang mencemaskan.
                Peristiwa yang mencemaskan dalam novel Azfa Hanani ialah ketika di Makmal Kimia, dua orang pengawas datang memberitahunya bahawa pengetua ingin berjumpa dengannya. Hal ini mencemaskan Azfa Hanani kerana dia bimbang rahsianya mencuri buku-buku rujukan SPM di perpustakaan telah terbongkar dan dia akan dihukum atas kesalahannya itu.
               Peristiwa yang mencemaskan dalam novel Kembara Amira ialah ketika Amira terjatuh ke dalam arus sungai yang deras kerana gagal melangkah dengan tepat di atas batu. Hal ini mencemaskan kerana Amira terus dibawa arus yang deras dan gagal ke tepi. Dia akhirnya diselamatkan oleh dua orang lelaki Orang Asli Semai.
  
4.     Huraikan dua peristiwa yang menyayat hati dalam sebuah novel yang anda kaji. (7m)
               Novel yang saya kaji ialah Azfa Hanani. Pengarang telah memaparkan peristiwa yang menyayat hati dalam novel ini.
               Peristiwa yang pertama ialah ketika Azfa Hanani ditampar oleh Datin Maziah setelah rahsia penyamarannya terbongkar. Hal ini berlaku kerana Datin Maziah terdengar akan pertengkaran antara Tengku Muzaffar dengan Azfa Hanani tentang soal status. Datin Maziah yang terlalu marah telah mengusir Azfa Hanani dari banglo mewah itu malam itu juga,
               Peristiwa yang kedua ialah ketika Datuk Tengku Makmur menceritakan  hal yang sebenarnya bahawa dialah yang telah menyebabkan kematian ibu bapa kandung Azfa Hanani apabila kereta yang dipandunya melanggar teksi yang dinaiki oleh keluarga Azfa Hanani sehingga terjatuh ke dalam gaung. Azfa Hanani yang masih bayi telah dipelihara oleh pak longnya dan hidup serba kekurangan.

Tiada ulasan: