Rabu, Februari 17, 2010

Sinopsis Novel Merdeka! Merdeka!

SINOPSIS
Bab 1
Kudin terperanjat bercampur gembira dan terharu kerana dipilih untuk menyampaikan ucapan dalam majlis perhimpunan di Kuala Lumpur. Mak Bibah, iaitu emak Kudin turut berasa bangga walaupun suatu masa dulu dia tidak menyetujui penglibatan Kudin dalam perjuangan menentang penjajah. Malah, Mak Bibah memberikan sebahagian wang hasil jualan kuih-muihnya kepada pejuang-pejuang kemerdekaan. Kudin terdengar bunyi tembakan. Dia tahu bahawa komunis sedang menyerang kubu pertahanan kampung. Pengganas memang berhasrat menawan Kampung Teras Jernang. Bapa Kudin, Pak Awang pula diberi amaran oleh majikannya, Tuan White supaya tidak terlibat dalam perjuangan menentang Inggeris. Sementara itu, Bustam memberitahu Kudin bahawa Pak Karim mati dibunuh oleh dua orang pemuda yang tidak dikenali.

Bab 2
Mesyuarat Persatuan Pahlawan Kemerdekaan di rumah Tuk Ketua membincangkan tragedi pembunuhan Pak Karim. Lantaran itu, Kumpulan Pengawal Kampung ditubuhkan untuk mengawal keselamatan kampung dan Murad dilantik untuk mengetuainya. Seterusnya mereka berbincang tentang persiapan ke Kuala Lumpur. Dalam perhimpunan agung di Kuala Lumpur nanti, Persatuan Pahlawan Kemerdekaan ditugaskan mengendalikan urusan keselamatan dan penyusunan acara program.
Kudin dijemput menyampaikan ucapan dalam perhimpunan agung itu. Penghormatan itu diberikan kepadanya sebagai menghargai pengorbanannya yang mewakili generasi muda di Kampung Teras Jernang berjuang menentang penjajah Inggeris. Kudin pernah bertungkus-lumus meyakinkan orang ramai untuk menghidupkan Persatuan Pahlawan Kemerdekaan kembali. Kepetahan Kudin berucap dengan penuh semangat memang diakui oleh penduduk kampung.
Sebelum perhimpunan itu berlangsung, Pak Awang selaku Pengerusi Persatuan Pahlawan Kemerdekaan dijemput hadir ke Kuala Lumpur. Namun, dia tidak dapat pergi kerana bimbang diintip oleh pihak Inggeris. Akhirnya keputusan diambil dengan mewakilkan Ibrahim pergi bersama Kudin.

Bab 3
Sebelum berangkat ke Kuala Lumpur, Kudin ingin menjenguk rakan-rakannya di kubu pertahanan di dalam hutan. Kubu tersebut dijadikan penghalang kemaraan pengganas ke kampungnya. Sebenarnya, orang kampung menghadapi dua ancaman, iaitu pengganas komunis dan penjajah Inggeris.
Dalam perjalanan ke khemah di dalam hutan itu, Kudin teringat akan kekejaman komunis yang telah membunuh Pak Cik Barman selepas Jepun berundur dan ketika itu Inggeris belum tiba lagi. Kudin juga teringat akan pengalamannya belajar menggunakan senjata api daripada ayahnya. Orang-orang kampung kebanyakannya bersemangat tinggi untuk mempertahankan keamanan dan keselamatan kampung, namun mereka kekurangan peralatan seperti senjata dan peluru.
Di khemah pertahanan kampung di hutan, rakan-rakan Kudin sibuk menggali kubu pertahanan. Kudin memaklumkan pemergiannya ke Kuala Lumpur kepada mereka. Rakan-rakan Kudin berasa bangga kerana Kudin dijemput untuk menyampaikan ucapan. Sementara itu, Ujang pula bersedih kerana ternampak akan ayahnya di pihak komunis semasa pertempuran semalam. Ujang tidak menyangka bahawa ayahnya menyertai perjuangan pengganas komunis.

Bab 4
Ibrahim dan Kudin bertolak ke Kuala Lumpur. Mereka menaiki bas dari Gerik ke Kuala Kangsar lalu menaiki kereta api ke Kuala Lumpur. Ibrahim dan Kudin berjalan kaki dari stesen kereta api ke Bangunan Sultan Sulaiman. Di sana, mereka menemui Encik Hasmun. Encik Hasmun bercerita tentang Inggeris yang tidak menunaikan janjinya untuk memberikan kemerdekaan kepada MPAJA. Perjuangan menuntut kemerdekaan pun bermula. Di samping orang Melayu, orang Cina juga berjuang menuntut kemerdekaan. Kudin gembira kerana berpeluang menemui Datuk Onn, iaitu tokoh yang menjadi pujaannya.

Bab 5
Mesyuarat persatuan-persatuan dipengerusikan oleh Datuk Onn. Tujuan mesyuarat itu ialah untuk membincangkan cara yang terbaik menentang Inggeris. Datuk Onn menjelaskan sikap Inggeris yang memaksa sultan-sultan supaya bersetuju dengan penubuhan Malayan Union.
Dalam perbincangan tersebut, mereka yang hadir telah bersepakat untuk menentang penubuhan Malayan Union. Raja-raja Melayu juga mesti dipujuk untuk memulaukan majlis pengisytiharan Malayan Union itu.
Dalam mesyuarat itu juga, Datuk Onn memperkenalkan Kudin sebagai seorang pemuda yang berani menentang pengganas komunis. Datuk Onn menegaskan bahawa perjuangan mereka ialah perjuangan serampang dua mata, iaitu menentang pengganas komunis dan penjajah Inggeris. Mereka juga telah mengambil keputusan untuk mengadakan perhimpunan raksasa di Padang Kelab Sultan Sulaiman pada 1-4 Mac 1946. Mereka akan mencuba mengatasi masalah kewangan melalui pungutan derma.

Bab 6
Sebaik saja tiba di kampung, Kudin terperanjat dan sedih kerana sahabatnya, Bustam telah dilarikan oleh pengganas komunis ke dalam hutan. Walaupun masih keletihan, Kudin terus ke khemah dengan bapanya untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang kejadian penangkapan Bustam itu. Kudin berhasrat untuk menyelamatkan Bustam tetapi keadaan amat bahaya. Kudin sedar bahawa mereka kekurangan senjata, peluru, makanan, dan pakaian. Dia terpaksa menangguhkan hasratnya itu lalu pulang ke rumah dengan kehampaan.

Bab 7
Kudin terdengar akan perbualan bapanya dengan Osman dan Kassim. Mereka datang ke rumah kerana disuruh oleh Tuan White. Tuan White memberi kata dua kepada Pak Awang, iaitu berhenti berjuang atau berhenti bekerja. Pak Awang amat marah dan mengambil keputusan nekad, iaitu berhenti kerja.
Pak Awang pergi ke rumah Ibrahim bersama dengan Kudin. Mereka membuat pungutan derma daripada orang kampung. Jumlah pungutan tidak begitu banyak tetapi sumbangan itu membuktikan bahawa orang kampung menyokong perjuangan menentang Malayan Union.
Sementara itu, ayah Bustam, iaitu Pak Kasa dan saudara-maranya bertekad untuk menyelamatkan Bustam. Pak Awang menyertai keluarga Pak Kasa dalam misi mencari dan menyelamatkan Bustam. Kudin pula meneruskan pungutan derma bersama dengan Ibrahim.

Bab 8
Pak Awang dan keluarga Pak Kasa belum pulang setelah tiga hari masuk ke dalam hutan. Mak Bibah dan Kudin berasa bimbang. Dalam masa yang sama Kudin bersiap-siap untuk pergi ke Kuala Lumpur. Perbincangan di rumah Tuk Ketua untuk mencari Pak Awang tidak mencapai kata sepakat kerana tugas itu berbahaya. Mesyuarat dihentikan apabila mereka terdengar bunyi tembakan di kawasan pertahanan sebelah hilir. Pada malam itu Kudin tidur di khemah bersama rakan-rakannya.
Kudin tiba di Bangunan Sutan Sulaiman pada awal pagi. Mereka membincangkan persiapan dan atur cara perhimpunan selama empat hari itu. Sultan Selangor bersetuju untuk merasmikan perhimpunan raksasa tersebut. Datuk Onn dan Kudin akan menyampaikan ucapan. Perhimpunan itu akan membincangkan penentangan terhadap Malayan Union dan hal pelajaran. Tugas yang banyak di Kuala Lumpur menyebabkan Kudin lupa akan peristiwa yang berlaku di Kampung Teras Jernang.

Bab 9
Perhimpunan 1 Mac 1946 mengumpulkan pemimpin-pemimpin Melayu dari seluruh negara. Padang Kelab Sultan Sulaiman dan bangunannya dibanjiri oleh berpuluh-puluh ribu orang. Kudin terharu akan semangat tinggi orang Melayu yang bersatu padu dan menentang Malayan Union. Namun Kudin bersedih apabila mendapat berita bahawa rombongan Pak Kasa dan bapanya mati dibunuh oleh pengganas komunis. Kudin mencuba untuk menyembunyikan kesedihannya itu.
Dalam ucapan perasmian baginda, Sultan Selangor menekankan peri pentingnya orang Melayu bersatu padu. Za’ba selaku Pengerusi menerangkan tujuan perhimpunan, iaitu untuk menentang Malayan Union. Datuk Onn dalam ucapannya pula menyarankan orang Melayu mengubah nasib bangsa melalui perpaduan dalam persatuan yang dinamakan UMNO.
Kudin menyampaikan ucapannya dengan penuh semangat dan menyeru kaum bapa dan kaum ibu supaya sanggup berkorban untuk negara. Menurutnya, generasi muda akan mengikut jejak mereka apabila dewasa kelak. Datuk Onn dan Za’ba mengucapkan tahniah kepada Kudin. Sultan Selangor turut memuji kebijaksanaan Kudin.

Bab 10
Dalam perhimpunan itu juga, cadangan untuk menubuhkan UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) mendapat sokongan daripada semua perwakilan. UMNO akan menentang Malayan Union dan menuntut kemerdekaan daripada penjajah Inggeris. Keputusan yang dibuat ialah meminta raja-raja Melayu memulaukan hari perasmian Malayan Union. Perarakan membantah penubuhan Malayan Union akan diadakan juga. Mereka turut membincangkan sistem pelajaran dan ekonomi orang Melayu yang perlu diperbaiki. Dalam pada itu, Encik Hasmun berhasrat untuk mendidik Kudin menjadi seorang tokoh politik yang berjaya. Hasrat Encik Hasmun disokong oleh Datuk Onn.
Kudin pulang ke kampung. Dia sedih kerana jambatan dan khemah telah dimusnahkan oleh pengganas komunis. Kudin menziarahi pusara bapanya. Mak Bibah pula tidak membantah sekiranya Kudin hendak tinggal di Kuala Lumpur.

Bab 11
Penduduk Kampung Teras Jernang termasuk Kudin membina kubu dan khemah di sekeliling kampung. Pada waktu tengah hari itu, Encik Hasmun datang ke rumah Kudin dan mengajaknya menghadiri perarakan di Kuala Kangsar. Perarakan menentang Malayan Union bermula di Padang Polo, Kuala Kangsar hingga Bukit Chandan. Selepas perarakan, Kudin dan Encik Hasmun bertolak ke Kuala Lumpur.
Kudin membantu kerja-kerja pejabat seperti menyusun fail, membuka surat, menaip surat, dan menyusun agenda mesyuarat. Mesyuarat diadakan kerana pihak Inggeris telah merasmikan penubuhan Malayan Union dan melantik Sir Edward Gent sebagai Gabenor yang pertama. Hari perasmian Malayan Union akan diadakan pada bulan April. Raja-raja Melayu digesa supaya memulaukan Malayan Union dan orang Melayu akan berkabung selama seminggu.
Kudin mengikut Datuk Onn dan Encik Hasmun ke Johor Bahru untuk menyertai perarakan di sana. Seterusnya Kudin menjelajah ke Pahang, Terengganu, dan Kelantan. Kudin mendapati semangat orang Melayu menentang Malayan Union berkobar-kobar. Perarakan anti-Malayan Union diadakan di seluruh negara.

Bab 12
Raja-raja Melayu bersedia menghadiri upacara perasmian Malayan Union pada 1 April 1946 di Hotel Stesen, Kuala Lumpur. Orang Melayu dari seluruh negara berkumpul di Padang Kelab Sultan Sulaiman. Mereka berarak ke Hotel Stesen dengan membawa ratusan sepanduk yang mengecam penjajah. Datuk Onn menemui raja-raja Melayu dan menerangkan hasrat orang Melayu menentang Malayan Union.
Raja-raja Melayu melihat orang Melayu berhimpun di luar Hotel Stesen. Apabila melihat kesungguhan rakyat jelata, raja-raja Melayu mengambil keputusan memulaukan majlis perasmian Malayan Union dan bertindak meninggalkan Hotel Stesen. Dengan itu, penubuhan Malayan Union telah dapat digagalkan. Datuk Onn mengingatkan orang Melayu supaya terus berjuang menuntut kemerdekaan. Perhimpunan bersurai dan Kudin terus tinggal di Kuala Lumpur untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai.

16 ulasan:

Tanpa Nama berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Tanpa Nama berkata...

Terima kasih.

PUTRI NADIA ADDNAN berkata...

mekaseh,,,

tkdz_ berkata...

thanks cikgu roosezah for this sinopsis ! sangat berguna :D

Jack Ng Cia Yik berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
H berkata...

Terima kasih cikgu.Saya amat menghargai usaha yang cikgu telah lakukan.Semoga cikgu halalkan yaa! :)

MiNee G berkata...

thx...

iEra naDira berkata...

terima kasih cikgu! :D

Pei Hui berkata...

this is so useful !!
thanks a lot ;D

Hidayah Ahmad berkata...

alhamdulillah . saya dapat membacanya :)

Unknown berkata...

tnx teacher

Inmutiara berkata...

thnx!

Yaya MNH48 berkata...

thanks cikgu!! Saia dapat membaca sinopsisi ini!!

shamira dalillah berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
shamira dalillah berkata...

sangat berguna !
tenkiuu cikgu :D

Just.wanie berkata...

makasih banyak2 ^_^